RAMAI REMAJA BUTA SEJARAH

RAMAI REMAJA BUTA SEJARAH

SIAPA DIA MAHSURI?

MEMETIK luahan pengkritik filem berpengalaman, A Wahab Hamzah ketika berdiskusi pada majlis Apresiasi Filem Tempatan - Filem Magika yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di Hulu Klang, kelmarin, karya seni tiada yang sempurna dan sebab itulah kita perlu terus mencuba bagi menghasilkan filem terbaik.

Bukan saja penggiat seni sukar untuk menemui kepuasan peribadi, malah mereka juga payah untuk memuaskan hati penonton. Ada saja yang tidak kena dan sempurna di mata mereka.

Malah, menurut pengalaman pengarah Magika, Edry Abdul Halim, dia agak terkejut apabila ada penonton berusia 16 tahun tidak kenal siapa Mahsuri iaitu antara watak legenda yang dipaparkan dalam filem itu.

Kata penonton remaja itu, mengarut manusia berdarah putih.

ustahil untuk menceritakan setiap watak legenda yang divisualkan dalam filem itu satu persatu dengan terperinci.

Semua watak legenda itu kita sudah dengar mengenai kisahnya sebaik saja kita mengenal dunia yang diceritakan datuk dan nenek kita.

Tetapi kita juga boleh kaitkan dengan minat membaca di kalangan masyarakat kita yang masih belum berada pada tahap membanggakan.

Menerusi pembacaan, kita boleh mengetahui asal-usul budaya kita, siapa Mahsuri yang keturunan ketujuhnya bernama Aishah sudah ditemui dan baru-baru ini berkahwin dengan pilihan hatinya.

Begitu juga dengan watak legenda Bawang Putih dan Bawang Merah, Pak Pandir dan isterinya Mak Andeh, Naga Tasik Chini, Nenek Kebayan, Hang Tuah lima bersaudara, Badang, Orang Minyak, Pak Belalang dan orang Bunian serta kisah tragis, Batu Belah Batu Bertangkup.

Mereka semua adalah watak yang menjadi kesayangan masyarakat kita dulu, namun generasi muda hari ini lebih mengenali watak Snow White, Sleeping Beauty, Cinderella dan terbaru watak ahli sihir yang diperkenalkan dalam novel dan filem Harry Potter.

Maka tidak hairanlah, ada remaja hari ini yang tidak tahu sejarah Mahsuri dan kenapa dia berdarah putih.

Bagaimanapun dalam mencari jalan menghasilkan karya yang terbaik dan pada masa sama dapat memenuhi cita rasa penonton, Edry sudah boleh berbangga kerana filem muzikal pertama arahannya itu yang diterbitkan KRU Studios itu berjaya menang lima anugerah pada pembukaan Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23), Rabu lalu. Magika menang kategori Kostum/Busana Terbaik (Dee Hasnan), Lagu Tema Asal Terbaik (Edry Abdul Halim) - Penyembuh Rindu, Penataan Seni Terbaik (Anuar Paharudin/Johan Lucas), Pelakon Kanak Kanak Terbaik (Fimie Don) dan Pengarah Harapan (Edry Abdul Halim).

Kemenangan itu tidak berhenti setakat itu saja kerana ada beberapa kategori pencalonan yang bakal diumumkan pada malam kemuncak FFM23 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), jam 8 malam esok.

Majlis Apresiasi itu anjuran Finas bertujuan menyediakan platform kepada penggiat industri, pelajar perfileman, masyarakat berkongsi ilmu dan pengalaman produksi secara terus menerusi diskusi bersama panel.

Ia juga membolehkan percambahan minda, berkongsi ilmu mengenai idea kreatif berkenaan teknologi terkini seperti teknik penjanaan komputer (CGI) dan kesan khas serta meningkatkan kualiti modal insan yang berkemahiran di kalangan penggiat dan warga industri selari dengan Dasar Perfileman Negara (DFN).

Panel jemputan ialah Edry, Wiryandi Widjaya (Penyelia Kesan Khas Magika), Diana Danille, Yusry Abdul Halim dan Dr Mahadi J Murat selaku moderator.Hadir sama, Ketua Pengarah Finas, Mahyidin Mustakim.

Membuka bicara pada petang itu, Edry mengakui tidak menyangka percubaan pertamanya mengarahkan filem membuahkan kejayaan.

“Sebenarnya dalam berkarya, saya tidak pernah mengambil kira sama ada ia percubaan pertama atau ke-10 kerana paling mustahak ia adalah hasil kerja saya dan saya mahukan ia jadi yang terbaik.

“Saya juga memilih tema yang agak keMelayuan dan tidak asing dengan masyarakat kita yang berkisar kepada cerita hikayat Melayu itu. Ia timbul atas kesedaran saya yang mempunyai empat anak, tetapi mereka lebih ‘mesra’ dan kenal dengan watak legenda Barat.

“Orang kita tidak kenal lagi mitos masyarakat Melayu lama, namun saya tidak mengupasnya dengan terlalu mendalam, hanya pada permukaannya saja.

“Dengan harapan apabila sekeluarga datang menonton, ibu atau bapa boleh menceritakan dan memperkenalkan setiap watak legenda itu kepada anak-anak dengan lebih lengkap lagi,” katanya.

Mengulas persoalan mengenai lagu yang turut membantu penceritaan dalam filem ini, jelas Edry, Magika adalah filem muzikal dan setiap lagu yang disisipkan dalam filem itu menjadi faktor penentu dan menjadi pertaruhan sama ada filem muzikal itu menarik atau tidak.

“Saya adaptasikan cerita ini dengan kebudayaan Melayu di dunia ini yang masih percaya kepada cerita fantasi seperti kewujudan orang bunian dan perkampungan mereka. Orang tua kita selalu melarang jangan bermain waktu senja, nanti disorok bunian kerana waktu senja adalah pagi bagi mereka.

“Kanak-kanak juga selalu dikatakan hilang apabila dekat perigi buta dan segala kepercayaan itu saya selitkan dalam Magika kerana ia begitu dekat di hati kita.

Saya persembahkan filem ini dalam perspektif kekeluargaan di mana selepas kematian ibu mereka, Ayu (Diana) mengambil alih tugas menjaga adiknya, Malik (Fimie Don).

“Malik suka memberontak kerana dia menganggap dirinya penyebab kematian ibu mereka, tetapi selepas menemui pelbagai watak dan melalui banyak pengalaman dalam dunia Magika, baru dia tahu betapa pentingnya hubungan persaudaraan tambahan di dunia Magika dia cuma ada kakaknya saja.

“Watak pokok tiga beradik yang boleh berkata-kata itu juga lambang persaudaraan yang kukuh,” katanya.

Edry juga mencadangkan kepada Finas untuk membuka perpustakaan digital supaya segala sistem dan teknologi yang dipakai dalam filem sebelumnya boleh diguna pakai semula pada filem akan datang.

“Kita perlu berkongsi sumber bagi menjimatkan kos,” katanya.

Yusry menambah, lirik lagu filem muzikal penting kerana ia turut menceritakan perjalanan filem itu.

Mengulas mengenai keperluan kajian dan pembangunan (R&D) filem Melayu, dengan kengkangan bajet, penggiat seni tanah air membuat R&D menerusi produksi itu sendiri.

“Kita melakukan R&D melalui setiap filem yang dihasilkan.

Jika filem yang ini bagus, untuk filem yang akan datang kita cuba buat lagi bagus dan begitulah seterusnya. Kita akan terus mencuba perkara baru,” katanya.

Datuk Yusof Haslam yang turut serta mendengar diskusi Magika, memuji karya pertama Edry itu yang mana katanya, visual yang dipaparkan dalam filem itu amat indah sekali.

“Dengan kos yang agak kecil (RM1 juta), KRU Studios dapat menghasilkan yang sangat bagus lengkap dengan kesan CGI yang amat mengesankan. Kalau diberi bajet yang lebih besar, saya yakin filem ini akan menjadi lebih baik, setaraf filem Hollywood. Saya tak sabar menunggu tayangan filem terbaru KRU , Hikayat Merong Mahawangsa,” katanya.

U-Wei yang baru saja mengarahkan filem Hanyut turut teruja dengan pembikinan filem Magika dan bertanyakan rujukan yang dibuat Edry untuk menghidupkan watak naga.


“Saya menghargai dan terhibur menonton filem ini,” katanya.

Menjawab pertanyaan U Wei, jelas Edry, dia mengambil jalan tengah dengan tidak meniru naga dari Barat yang mengeluarkan bola api.

“Sebagai jalan selamat saya buat naga dalam air. Kita tidak boleh terlalu ke hadapan dan kena seimbangkan dengan pemikiran penonton,” katanya.

Diana pula menyifatkan dia amat bertuah dapat berlakon dalam Magika.

“Kita patut berbangga kerana sudah ada cerita rakyat sendiri yang boleh diselitkan bersama populariti cerita Cinderella dan yang lainnya,” katanya.

*RUJUKAN

BERITA HARIAN