NYAHNIKOTIN

 

TAMPALAN ANTARA KAEDAH TERBARU ATASI TABIAT MEROKOK

BERHENTI merokok! Menyebutnya mudah, namun melaksanakannya belum tentu. Walaupun sudah terlalu banyak fakta kesan tabiat merokok dengan komplikasi kesihatan, ada kala ia sekadar dibaca tetapi tidak dipraktikkan. Malah kaitan kesan penggunaan tembakau dengan komplikasi kesihatan sebenarnya sudah mula diperkatakan sejak 1600.

 

Rekod Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) misalnya mencatatkan, 4.83 juta orang meninggal dunia kerana tabiat merokok dengan 50 peratus dari negara membangun. Malah di Malaysia, seramai 10,000 perokok meninggal dunia saban tahun kerana pelbagai komplikasi penyakit yang dikaitkan dengan tabiat merokok.

 Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Zainal Ariffin Omar berkata, tabiat merokok adalah pembunuh nombor satu di seluruh dunia. Ia penyebab utama kematian awal serta penyakit yang sebenarnya boleh dicegah.

Malah, seorang bagi setiap dua perokok akan meninggal dunia kerana kematian awal disebabkan komplikasi penyakit berkaitan tabiat merokok.

“Menurut Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2006, 21.5 peratus warga Malaysia berusia 18 tahun ke atas adalah perokok. Hari ini ada 4 juta perokok di Malaysia dan mereka membelanjakan RM8.6 juta dengan membeli rokok setiap hari,” katanya.

Statistik yang sama mencatatkan daripada 10,000 kematian setahun, 90 peratus dikaitkan dengan barah paru-paru, 75 peratus (penyakit laluan pernafasan kronik pulmonari - COPD) dan 25 peratus lagi penyakit kardiovaskular.
Ketagihan kepada rokok sebenarnya dikaitkan dengan kandungan nikotin di dalamnya yang menyebabkan perokok sukar untuk berhenti daripada tabiat ini. Nikotin bertindak ‘mempermainkan’ akal perokok dengan stimulasi.

Nikotin berinteraksi dengan dopamine, hormon yang sama yang ‘memaklumkan’ anda makanan atau hubungan intim itu sungguh nikmat. Ia juga meningkatkan aktiviti di laluan ‘cholinergic’ di otak - laluan di stem otak yang ada kaitan dengan aktiviti kognitif.

Mengikut Pihak Pentadbir Ubat-Ubatan Persekutuan Amerika Syarikat (FDA), apabila anda tidak merokok, laluan itu akan tertutup dan membuat anda ketagihan rokok. Justeru, tidak hairan satu pertiga daripada semua perokok mula merokok dalam tempoh 10 minit sebaik terjaga daripada tidur.

Sebenarnya, kesan nikotin tidak kekal lama dalam tubuh, iaitu sekitar 40 minit - dua jam saja kerana dipecahkan pelbagai enzim dan reaksi kimia. Ia menyebabkan perokok kerap merokok sepanjang hari untuk mendekatkan diri mereka dengan nikotin.

Apatah lagi jika seseorang itu sudah menjadi toleran kesan nikotin, anda mungkin perlu lebih kerap merokok, memerlukan lebih nikotin untuk sampai ke satu tahap stimulasi atau tahap kerehatan yang diinginkan.

Ia menjelaskan mengapa ada perokok yang cepat mengubah tabiat daripada sekotak rokok sehari kepada dua atau tiga kotak rokok sehari.

Begitu juga jika anda bersenam, anda sebenarnya bertindak mencerna nikotin dalam tubuh dengan lebih cepat. Jadi, tahap nikotin dalam tubuh dan otak akan menurun dengan cepat. Apabila nikotin dicerna, tubuh selalunya mengeluarkan dadah itu secara sendirinya dan perokok perlu merokok lagi untuk mendapatkan kembali ukuran kepuasannya.

Bergantung kepada jenama rokok, namun umumnya sebatang rokok mengandung lapan ke 20 miligram nikotin. Disebabkan rokok itu disedut, nikotin hanya mengambil masa antara tujuh ke 10 saat untuk sampai ke otak - iaitu dua kali lebih cepat daripada suntikan dadah ke tubuh dan tiga kali lebih cepat daripada alkohol.

Keadaan ini menjelaskan mengapa berhenti merokok itu bagi sesetengah orang adalah proses yang menyukarkan. Bagaimanapun, ada banyak kaedah yang boleh membantu anda untuk merokok. Antara kaedah yang popular menggunakan tampalan.

Umumnya, tampalan nikotin dirangka bagi membantu perokok menangani ketagihan nikotin dengan memberikan perokok gantian nikotin yang perlu diambil setiap hari. Program ini mengambil masa 10 minggu dengan tiga langkah. Bermula dengan 21 mg dos untuk enam minggu diikuti 14mg dos untuk dua minggu dan berakhir dengan tujuh mg dos untuk dua minggu.

Kaedah tampalan memerlukan perokok melekatkan tampalan di kulit 24 jam bagi membantu perokok berasa stabil dan mengawal keinginan untuk merokok terutama pada waktu pagi, iaitu waktu puncak tahap ketagihan merokok. Antara jenama tampalan anti rokok yang terbaru di pasaran adalah NiQuitin.

 

*RUJUKAN
hafiza@bharian.com.my
2010/10/24