BOMOH BOLEH,HOSPITAL TAK MAHU

 

KENAPA masih ada yang lebih gemar mendapatkan rawatan bomoh bagi penyakit atau masalah kesihatan yang mereka alami berbanding mendapatkan khidmat profesional di hospital?

Penulis masih ingat satu episod pada tahun 1974 di mana sepupu, Halimah (bukan nama sebenar), mengadu merasa kebas di lengan kiri beliau yang kemudiannya merebak ke seluruh tangan sehingga menyebabkan tangan itu lumpuh.

Halimah yang sepatutnya mendapatkan rawatan di hospital sebaliknya pergi berjumpa bomoh yang mengatakan masalah itu disebabkan gangguan makhluk halus.

Bomoh itu kemudian membekalkannya dengan air jampi dan ubatan.

Beberapa bulan selepas berjumpa bomoh itu, Halimah sakit teruk dan terpaksa dikejarkan ke hospital. Doktor kemudian memberitahu anggota keluarganya yang Halimah menghidap kanser payu dara pada peringkat lanjut. Tidak lama kemudian Halimah meninggal dunia.

Pada tahun 2004, seorang lagi anggota keluarga penulis, Mohamaad (bukan nama sebenar) mengadu sakit dada dan sukar bernafas. Beliau dikejarkan ke Pusat Pakar di Damansara dan kemudian dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) di sini, di mana beliau menjalani pemeriksaan angiogram.

Mohamaad kemudian diberitahu doktor tentang tiga arteri koronari di jantung beliau tersumbat dan beliau perlu menjalani pembedahan pintasan koronari.

Tetapi kerana takut menjalani pembedahan, Mohamaad lebih rela mendapatkan rawatan tradisional. Pada tahun yang sama, beliau meninggal dunia selepas satu serangan jantung.

Walaupun mengetahui implikasi perkara ini, masih ada yang lebih rela berjumpa bomoh bagi menyelesaikan masalah perubatan yang mereka alami daripada mendapatkan rawatan profesional di hospital. Pesakit ini termasuklah mereka yang berpelajaran tinggi.

Kenapa?

Dr. Florence Lim, seorang pakar perubatan di hospital awam di sini menghuraikan beberapa faktor tentang isu ini.

“Ada yang lebih suka berjumpa bomoh kerana rawatan yang disediakan bomoh lebih murah daripada kos rawatan di hospital. Contohnya bagi kes kanser, rawatannya memerlukan kemoterapi, radioterapi dan juga pembedahan dan ini agak mahal.

‘’Jadi mereka yang tidak mampu akan mencari rawatan di mana kosnya lebih murah seperti mendapatkan rawatan tradisional,’’ tambahnya.

Kata Dr. Lim, ada juga pesakit yang tidak suka kesesakan di institusi kesihatan awam terutama di hospital kerajaan.

“Sudah tentu bila pesakit datang ke hospital dan mengadu mereka mengalami sesuatu masalah yang mencurigakan, mereka akan dikehendaki menjalani prosedur pemeriksaan lengkap selain beberapa ujian yang diperlukan. Pada rutinnya, pesakit akan diperiksa dahulu oleh pegawai perubatan di klinik sebelum dirujuk kepada pensyarah, pakar atau konsultan.

“Ujian seperti profil darah dan juga air kencing perlu dilakukan.

Begitu juga dengan pemeriksaan radiograf (sinar- X dan juga pemeriksaan imbasan) perlu dijalankan bagi membantu doktor mengenal pasti penyakit yang dialami.

“Tetapi ada pesakit yang tidak suka diminta pergi atau dirujuk dari satu jabatan ke jabatan yang lain. Bagaimanapun ujian-ujian ini penting dan diperlukan untuk mengetahui sebab sebenar penyakit yang mereka hidapi,” kata beliau sambil menambah ada juga pesakit yang tidak gemar hadir pada pemeriksaan lanjutan kerana dianggap memakan masa.

*RUJUKAN-Utusan Malaysia-2010/10/26