LORONG BELAKANG VALIASR

19/06/2010 09:50

LORONG BELAKANG VALIASR
Oleh Fudzail

SAYA berehat setelah puas menyusuri jalan Valiasr, jalan terpanjang sejauh 17 kilometer yang memisahkan metropolis Tehran kepada bahagian barat dan bahagian timur. Cuaca nyaman pada musim bunga, bulan Khordad, bulan ketiga dalam kalendar Parsi.

Menjejak ruang dalam kesibukan kota yang dipenuhi paradoks. Antara kaya dan miskin. Antara chador dan skirt. Syiah dan Barat. Maju dan mundur.

 

Seketika di jalan Valiasr, pelbagai imej dan persepsi yang mengheret minda pun terburai dan terdampar. Mengejutkan, kota Tehran tiba-tiba berwajah kosmopolitan. Pembangunan di mana-mana, kalau diukur dengan menara dan apartmen. Tidak semua buruk seperti yang digambarkan media Barat dan tentunya tidak seindah yang dipaparkan propaganda tempatan. Bergantung kepada lokasi, lokasi dan lokasi.

Benarlah kata seorang sahabat Facebook dari Iran, dunia tidak memahami Iran. Sebenarnya saya semakin keliru dalam perspektif yang mula menganjak ke fragmen-fragmen berwarna suram. Wajah-wajah menyambar imaginasi. Senyuman mendambarkan kemesraan.

Lantas dari sehari kembara, dalam keletihan, saya mula melihat Iran dari sentuhan santai. Memesrakan suasana tanpa persepsi yang mengasak keinsafan di tengah-tengah kota Tehran. Sebuah kota tua dengan penduduk melebihi sembilan juta orang. Kota yang berlatar belakang pergunungan Alborz memaparkan kontradiksi. Merakamkan sejarah dan peristiwa dari peradaban silam ke revolusi dan masa kini. Setahun selepas suara protes dengan demonstrasi memenuhi pusat kota, protes terhadap presiden. Protes yang masih membakar kemarahan marhaen.
Maka di luar dari skrin CNN, BBC, Fox, CNBC mahupun Al-Jazeera, saya menjadi wartawan dalam diri seorang blogger yang mencerna segala maklumat dalam sebuah catatan tanpa prejudis.

Massoud, rakan bisnes yang menjadi wakil syarikat di Tehran menarik saya ke lorong belakang. Katanya, ada kehidupan, realiti semasa yang menjalari lorong-lorong belakang. Kebetulan kami berada di bahagian selatan Valiasr. Kawasan hangat di mana Ayatollah Ruhollah Khomeni pernah menetap selepas pulang pada kala revolusi.
Menurut Massoud, daripada perbualan yang didengar menyusuri kaki lima, kesemuanya rungutan dan komplen mengenai harga barang yang semakin naik, penyelewengan pentadbiran dan pembohongan ahli-ahli politik, yang memungkiri janji-janji pilihan raya.

Kebetulan ada jerebu memenuhi ruang. Seakan membawa ke satu daerah dalam zon twillight. Kelabu dan berdebu.

“Jerebu membawa mood kurang baik.” Sepatah komen Massoud sambil menghisap rokok.
Singgah di sebuah kedai runcit kepunyaan bapa saudara Massoud, bernama Mehdi.
Apabila kami masuk, kelihatan rak-rak hampir kosong. Yang tinggal hanya beberapa barangan dalam kotak-kotak kecil. Mengejutkan.

“Saya tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli stok baru. Dalam inflasi yang tinggi menjadikan harga borong turut naik ke paras yang melebihi jangkauan. Malah ada produk tertentu yang naik sehingga enam belas peratus setelah dua pembelian. Mengerikan sekali. Kedai ini dikunjungi lebih ramai peminta sedekah daripada pembeli. Malah kalau lihat dari mesin tunai yang kosong, saya boleh sahaja menjadi peminta sedekah!”

Mehdi bercakap perlahan dalam bahasa Inggeris yang bercampur baur. Masih boleh difahami.

“Berapa sewa kedai ini?” Tanya saya sambil melihat ruang kecil berukuran 7 meter panjang dan 6 meter lebar. Siling rendah.

Mehdi tersenyum.

“Dalam USD 200 sebulan. Tiada tandas, tiada penghawa dingin, tiada pemanas udara dan tikus berkeliaran. Inilah yang termurah.”

Saya dapat merasakan kekecewaan daripada suara Mehdi. Katanya dia tiada pilihan. Berniaga memerlukan banyak pengorbanan dan tidak semudah yang dijangka.

“Negara ini melucukan, ada yang boleh menjadi jutawan sekelip mata. Lihat di seberang sana, ramai yang beratur panjang di kaunter supermarket dan bergaduh untuk merebut susu. Bagaimana boleh kami terus menyambung kehidupan yang sudah dalam keadaan daif kalau kerajaan memotong subsidi demi subsidi?”

Pertanyaan itu bergema ke seluruh gegendang. Melihat wajah serius Mehdi memaparkan suasana yang selama itu tidak termasuk dalam persepsi dan bayangan mengenai Iran. Sebuah negara yang kaya dengan hasil minyak dan sedang membina sebuah jana kuasa nuklear. Mungkinkah embargo dan pelbagai sekatan sudah membawa kesan yang diinginkan oleh sekutu Yahudi bernama Amerika? Pastinya, Iran bukan sekadar bermusuhan dengan rejim zionis, malah dengan jiran dikalangan negara-negara Islam juga. Sama ada kerana berlainan mazhab atau berlainan ideologi atau sejarah silam. Ya! Iran semakin terasing di tengah-tengah sekutu seagama.

“Pagi tadi ada dua orang wanita berchador datang mahu membeli ubat gigi. Saya tidak menyedari yang mereka telah mencuri banyak ubat gigi dengan menyorok di bawah chador. Bayangkan keadaan mereka yang lain dalam kemiskinan. Bayangkan suri rumah terpaksa mencuri dan hukuman mencuri adalah potong tangan!”

Percakapan sebegitu mungkin banyak tersiar dalam blog mereka yang mahu memberitahu keadaan sebenar. Blog-blog yang semakin banyak ditutup kerana dituduh melontar fitnah dan mengancam keselamatan negara. Walau ada kebebasan bersuara, tidak pasti kebebasan selepas bersuara. Kata Massoud, ramai yang sudah dihadapkan ke mahkamah walau pertuduhan tidak lebih mahu menutup mulut dan menyusahkan para pengkritik yang mahukan sebuah negara Iran yang lebih baik.

Dengan enam puluh peratus penduduk kota Tehran di bawah usia 25 tahun, tentunya sebuah kota yang vibrant dan perlukan keseronokan. Ceria dan penuh dengan kemeriahan anak-anak muda. Generasi yang lahir selepas revolusi dan mahu seiring di pentas dunia, daripada gambaran filem, internet, buku, majalah dan akhbar.

Saya semakin menjadi gelisah dalam cuba memahami apakah yang sebenarnya sedang berlaku. Sebagai pemerhati dari Dubai, selalu menganggap Iran mempunyai sistem demokrasi yang baik, bebas dan adil. Pilihan raya demi pilihan raya yang telus memberikan peluang untuk rakyat memilih pemimpin dan haluan negara. Bukan di bawah diktator dan raja yang memerintah untuk survival diri.

“Saya hanya mampu menampung perbelanjaan keluarga daripada pendapatan isteri yang bekerja di sebuah bank dengan gaji sebanyak USD300 sebulan. Sewa apartmen tiga bilik kami di sebuah kawasan sederhana adalah sebanyak USD450, bayar USD50 untuk air, elektrik dan telefon, manakala yuran sekolah anak sebanyak USD100, ditambah perbelanjaan lain, makanan sebanyak USD300 sebulan. Semakin hari semakin sesak, kedai ini tidak dapat lagi membantu untuk pendapatan, lebih teruk lagi, pemilik kedai tidak akan bertolak ansur, kalau lambat sahaja bayar, mahu terus menghalau!”

Mehdi meneruskan kisah sedih kehidupannya. Seperti kata Massoud, kisah yang boleh diulang oleh jutaan penghuni Tehran yang lain, mereka yang semakin tertekan dalam keriuhan pemimpin mempertahankan pembinaan jana kuasa nuklear dan mahu menjadi hero kepada setiap isu berkaitan perjuangan keadilan sejagat.
Sedangkan kemiskinan semakin melumpuhkan sebahagian dari mereka yang masih bertahan kerana patriotisme.

Massoud kemudian membawa saya ke apartmen kecil seorang lagi rakannya, Rostam, seorang peguam aktivis hak-hak asasi. Selepas diperkenalkan, Rostam terus sahaja menyumpah-nyumpah, talian internet yang sentiasa terputus dan terganggu.
Tidak berfaedah untuk menelefon pusat khidmat pelanggan kerana belum pernah panggilannya dijawab walau sudah beribu kali mencuba.

“Saya tidak boleh langsung membuka e-mel sejak sebulan lalu. Apakah ini masalah perisian dan virus? Atau masalah teknikal perkakasan? Atau apakah ini sebahagian daripada kerja-kerja perisikan? Mungkin kerana kegiatan saya menyebabkan saya menjadi sasaran?”

Pertanyaan yang tidak mungkin dapat saya jawab. Walau syarikat saya membekalkan modem untuk pasaran Iran. Tidak kena-mengena dengan pengendali internet dan syarikat Telekomunikasi, sekadar pembekal bebas. Itupun seperti kata Massoud, banyak duit kopi yang terpaksa diagihkan untuk mendapat pelbagai kelulusan.

“Bukan sahaja internet semakin diganggu untuk mengurangkan protes maya, malah perbualan telefon juga tidak selamat. Telefon bimbit saya sentiasa tiada talian kalau mahu berhubung dengan pelanggan.”

Saya mendengar cerita Rostam mengenai anak-anak guam yang semakin bertambah. Sama ada dari segi bilangan mahupun golongan, salah seorang anak guamnya adalah anak perempuan mantan presiden sendiri yang dituduh di bawah jenayah politik. Semakin ramai golongan terpelajar yang mula bangkit untuk memprotes keadaan semasa. Lawan tetap lawan.

Ketidakadilan semakin ketara apabila mahasiswa yang memprotes dianggap pengkhianat. Walhal, anak-anak muda yang pernah menjadi pemangkin revolusi.
Suara rakyat suara keramat dan suara anak muda boleh mencetus revolusi.

Rostam menunjukkan tajuk muka depan akhbar, kenyataan ketua polis Tehran dalam bahasa Parsi yang bermaksud, “Setiap demonstrasi haram memprotes ulang tahun pilihan raya presiden akan ditangani sekeras-kerasnya!”

Sejarah seakan berulang, begitu kata Massoud. Pemimpin tidak lagi mendengar rintihan rakyat. Sudah semakin jauh daripada apa yang diperjuangkan oleh Khomeini sewaktu menumbangkan Shah Iran.

Saya kembali ke hotel bersama imej-imej yang menjadikan kerlipan cahaya neon kota Tehran seakan pudar dan kelabu. Suara-suara rintihan marhaen menghimpit perasaan apabila melihat laporan mengenai sumber minyak yang sepatutnya menghasilkan puluhan bilion setiap tahun. Defisit bajet setiap tahun boleh memufliskan negara. Ke manakah perginya hasil negara selama ini?

Di kawasan legar hotel yang masih terpampang wajah Khomeini, beberapa rakan Massoud lain yang mengetahui saya datang dari Dubai, segera bertanya mengenai peluang lain dalam situasi dan iklim ekonomi yang masih tidak stabil. Terutama pertanyaan untuk membuka akaun bank di Dubai apabila tekanan daripada Kerajaan Amerika semakin kuat kepada Eropah dan Asia untuk menghentikan apa sahaja urusan ekonomi dengan Iran.

Mereka bercakap begitu sarkastik apabila nama presiden disebut, seolah-olah tidak lagi takut kalau ada perisik yang mendengar. Sudah tidak peduli kerana kata mereka, dalam keadaan semakin sukar untuk cari makan, ada baiknya juga kerajaan memberi mereka makan dalam penjara, apalagi setelah subsidi diberhentikan. Jenaka yang tidak lucu.

“Amerika akan gunakan apa sahaja untuk menekan Iran supaya tunduk kepada kehendak rejim Yahudi yang menggunakan Amerika sebagai proksi, selain pemimpin dan raja Arab yang lain. Iran tidak mungkin menghentikan program nuklear walau rakyat akan menderita. Itulah objektif Amerika, mahu rakyat Iran memberontak dan menggulingkan kerajaan yang ada, digantikan dengan seorang lagi boneka seperti di Iraq.”

Saya mendengar setiap hujah yang dilontarkan di meja makan malam.

Semakin rancak perbualan antikerajaan, sehingga pelawaan yang menyebabkan saya terkejut beruk. Apabila salah seorang mereka memberitahu kalau saya memerlukan teman tidur, seorang wanita Iran untuk beberapa malam selama di kota Tehran.
Boleh sahaja memilih, tua atau muda, bujang atau berkahwin, terpelajar atau artis.

“Semuanya boleh diaturkan, kamu boleh berkahwin mengikut tempoh masa, sah dan halal. Boleh bagi sijil pengesahan daripada pihak berwajib lagi!”

Pada mulanya saya menyangka sekadar gurauan. Walau pernah mendengar perkara yang sama, tetapi tidak pernah peduli kerana tidak pernah memerlukan khidmat sebegitu. Masih mempertahankan etika dan hukum agama. Apalagi berurusan di sebuah negara yang namanya ada perkataan Islam. Tentu menjalankan undang-undang Islam yang ketat, begitulah persepsi.

“Serius?” Saya bertanya dalam sedikit teruja. “Bukankah itu pelacuran yang dihalalkan?”

Massoud ketawa sambil berkata, laporan akhbar Entekhab mengatakan ada dalam 84 ribu pelacur di kota Tehran.

Saya menelan air liur. Dalam semangat mahu berurusan bisnes dengan sebuah lagi negara Islam, semakin terkeliru dan janggal. Semuanya begitu mengelirukan setelah minda dipenuhi persepsi berbeza. Seperti kata seorang sahabat, dari melihat urusan imigresen di lapangan terbang, selain keadaan lapangan terbang sendiri boleh menggambarkan keadaan sesebuah negara. Banyak negara Islam yang gagal sekadar melihat dari suasana dan buruknya lapangan terbang. Malah ada pegawai yang bukan sahaja tidak mesra pelanggan, malah awal-awal lagi meminta rasuah untuk memudahkan urusan imigresen dan visa.

“Kamu mahu melihat bagaimana urusan bisnes kupu-kupu malam di sini?”

Tiba-tiba soalan yang membawa ajakan daripada Massoud menjadikan saya tercabar untuk satu advencer di bumi yang pernah melahirkan ramai ulama dan intelektual Islam.

“Apakah tidak akan ditahan dan dipenjara?”

Massoud menggeleng, sambil menunjukkan ke arah salah seorang tetamu, Mohzen. Lelaki dari Qom.

“Abang dia kenal ketua perisik, tidak perlu takut, sebab itu juga kami berani mengutuk presiden. Laporan akan sampai ke meja ketua perisik sebelum tindakan boleh dibuat, dan selalunya kami terlepas sahaja!”

Saya tidak pasti sama ada mahu menerima pelawaan yang memang menarik. Menjejak kota Tehran pada waktu malam sambil melihat keadaan yang boleh memberi pengalaman baru kepada seorang ekspatriat Melayu. Jual beli, tawar menawar untuk khidmat bisnes tertua di dunia.

Begitupun, nafsu keinginan yang membara tiba-tiba menjadi lesu apabila terpandang sebuah artikel dari majalah yang ditunjuk Massoud. Ternyata, kemiskinan memang menjuruskan kepada kekufuran. Walaupun di sebuah negara kaya dengan hasil bumi, selagi jurang kaya dan miskin begitu besar. Semuanya menjadi statistik yang menggambarkan segalanya semakin songsang pada akhir zaman.

Ketua Statistik Iran mengumumkan seramai 10 juta dari 72 juta rakyat Iran hidup di bawah garis kemiskinan sepenuhnya, iaitu hidup dengan pendapatan USD600 sebulan untuk keluarga seramai enam orang dan 30 juta rakyat Iran hidup di bawah garis kemiskinan relatif dengan pendapatan USD900 sebulan.

Malam itu di kota Tehran, dari jalan Valiasr ke lorong-lorong belakang, saya tidak dapat tidur lena. Ketukan di pintu bilik hotel menambah kegerunan. Suara-suara rintihan bergema di setiap ruang.

Di bawah selimut, tiba-tiba teringatkan tanah air yang sudah lama ditinggalkan kerana mencari rezeki di perantauan. Bertanya tentang apa sahaja, walaupun tidak mungkin ada jawapan. Ke mana nanti anak-anak sendiri dan apakah ada cahaya di hujung terowong krisis ekonomi, krisis timur tengah dan krisis-krisis lain?

Tersambar memori lampau, permulaan yang memungkinkan jejak global. Kemiskinan mengubah hala tuju seorang anak kampung ke pentas bumi. Digamit rindu dari hembusan angin pergunungan Alborz, menyegarkan di balik seribu imej menggerunkan.

Ya! Apa khabar orang kampung?