KERANA TAKDIR ITU

03/10/2010 07:18

KERANA TAKDIR ITU
Oleh Hasni Jamali

“ILHAM, mari masuk. Dah senja.”
“Tak mahu. Ilham mahu tunggu ibu dan adik.”
“Ilham. Ilham sayang .…”

 Aidilfitri kali ini seperti hilang maknanya buat keluarga kami. Sebuah pemergian yang masih kejap dalam ingatan. Belum separuh purnama umat Islam menunaikan fardu Ramadan, kakak pergi meninggalkan kami. Pergi buat selamanya. Pergi yang tidak akan kembali lagi. Sebagai adik, aku bakal melengkapi tawa dan duka Ilham.

Anak sulung kakak yang berusia lima tahun. Ilham masih belum mengerti makna kematian. Ilham masih mentah apabila hidupnya disinggahi babak pemergian. Ibu dan adiknya kini tiada lagi di dunia fana. Mereka diragut nyawa dalam sebuah kemalangan yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke kampung. Aidilfitri mahu disambut sekeluarga. Namun, hanya Allah Maha Mengetahui. Sudah begini suratan ajal mereka.

Ilham masih menanti di birai jendela. Masih bermenung melihat jalan raya yang sunyi. Wajah anak comel ini tidak sekali mencerminkan ria. Rindunya masih tertahan di balik kelopak mata yang ada kalanya terlihat sinar jernih. Sudah mula mengertikah dia, bahawa yang dinantinya itu tidak akan datang memeluk? Sudah mula mengertikah dia, bahawa yang dinantinya itu tidak akan datang melunas janji? Janji untuk beraya bersama-sama.
“Ilham .…”

“Mak Su, Ilham mahu tunggu adik. Ilham dan adik sudah berjanji untuk beraya bersama-sama. Kami mahu kumpul duit raya banyak-banyak.”
Ilham kembali merenung luar jendela. Menanti kalau-kalau yang diharapkan bakal menjelma. Sungguh. Ilham membawa rintih pedih buat kami yang mengerti makna kematian ini. Hingga petang ini yang berlalu, aku biarkan dia bermenung begitu. Biarlah, esakan ini tertangguh kerana Ilham, aku perlu kuat menghadapi dunia yang ditinggalkan ibu dan adiknya.
“Mak Su. Kenapa ibu dan adik masih belum pulang?”

“Ilham ...,” sendu itu aku tahan agar tidak terburai di hadapan anak kecil ini.
“Lama Ilham tunggu. Ilham letih. Waktu berbuka sudah hampir. Mak Su masak apa hari ini?”

Segera Ilham menarik lenganku menuju ke kamar makan. Di situ, ummi melihat pantas gelagat cucunya. Tercuit rasa hati apabila Ilham memeluk belakang ummi. Aku, masih menahan sendu. Lirik mata ini tidak mahu berkedip. Kerana aku tahu, jika berkedip walau sekali pasti ada butiran jernih bakal tumpah. Di hadapan Ilham dan akan dipersoalkan lanjut olehnya. Tidak, aku perlu kuat dan tabah. Anak kecil ini masih jauh untuk mengerti.

Ilham dibawa bapanya ke kamar mandi. Riang nakalnya menggema ruang teratak. Ummi yang sejak tadi memandang aku, melirik tajam agar jangan merintih lagi.
“Sudah-sudahlah menangis Su. Kakak kamu sudah tiada. Sudah takdirnya dipanggil Ilahi.”

“Tapi, ummi .…”
“Umi mengerti. Umi faham. Bila-bila masa sahaja kita bakal dijemput-Nya. Walaupun dia amat kita sayang, tetapi sayangnya Allah pada dia lebih daripada segalanya.”

Aku meninggalkan ummi seorang diri menyediakan juadah berbuka di kamar makan. Cukup sekali itu nasihat dan amanat yang diberi ummi. Dalam hati yang walang seperti ini, apa-apa sahaja ungkapan sukar mengubat hati. Aku goyah dimamah bicara ummi supaya aku tabah dan menerima takdir pemergian kakak. Aku sayang kakak. Kenapa kakak pergi secepat ini.

Kerana takdir itu kakak pergi meninggalkan Ilham. Kerana takdir itu kakak juga meninggalkan suami tercinta. Kakak juga meninggalkan aku. Aku seorang adik yang sering mendambakan kasih seorang kakak. Tangisku lebih hebat daripada Ilham. Biarpun kesannya lebih berat kepada Ilham yang kehilangan ibu tempat bermanja, tetapi aku. Aku merindukan kakak lebih daripada segala-galanya.

Masih kejap dalam ingatan, setiap kali abi ingin menghukum aku kerana lewat pulang ke rumah kakak sedia menadah tubuhnya. Rotan abi hinggap di tubuh kakak ketika kakak melindungi aku daripada terkena bias-bias sakit itu. Setiap kali aku tertumpahkan air minuman, kakak lekas-lekas datang mengelap lantai. Setiap kali aku gagal dalam peperiksaan, kakak tempat aku bergantung harap agar mendengar luahan hati.

Segalanya tinggal kenangan. Kakak tiada lagi ketika ini. Kakak sudah tiada untuk mendengarkan rintihan hati.
“Mak Su. Kenapa menangis?”

“Eh, Ilham. Sudah siap mandi? Mari Mak Su sarungkan baju.”
“Ilham mahu baju yang itu. Baju itu ibu belikan untuk Ilham. Cantik.”
“Baju Melayu ini? Tapi .…,” Ilham lekas mengangguk.

“Tapi, ini baju untuk raya.” Aku serba salah untuk menyatakan bahawa baju Melayu ini hanya tinggal kenangan. Tiada keseragaman yang bakal disarung untuk Ilham dan kakak di pagi Syawal.

Ilham akur. Lemah yakannya.
“Kenapa Mak Su menangis?”

Perlukah aku menyatakan, aku rindukan kakak di hadapan anak kecilnya ini?
“Mak Su rindu ibu ya?”

“Ilham .…”

“Mak Su ini, manjanya lebih daripada Ilham. Ilham pun rindu ibu juga. Tapi Ilham kuat. Ilham tak menangis pun.”

Rindu kamu rindu yang tidak pasti Ilham. Kamu masih belum mengerti segala yang terjadi. Mak Su rindukan ibu kamu, kerana Mak Su tahu bahawa pemergian ini adalah pasti. Pemergian yang tidak akan kembali lagi.

Ilham berlari-lari anak menuju ke pangkuan bapanya. Abang Ilyas turut melirik mataku. Aku tahu, dia cuba menyelami hati walang seorang adik yang kini kehilangan kakak yang amat disayangi.

Kata-kata abi suatu masa ketika kakak bergesa untuk pulang terngiang-ngiang dipuput bayu. Abi lantang bersuara menyatakan tindakan kakak untuk pulang awal di teratak kami adalah suatu yang mustahil dan jarang dilakukan orang. Aku yang melonjak riang menyatakan rasa tidak puas hatiku kepada pandangan abi, “Biarlah kakak mahu pulang awal. Kakak dapat cuti panjang daripada majikannya. Abang Ilyas pun sudah beri kebenaran untuk kakak pulang bersama Intan. Kenapa abi mahu musykilkan pula?”

“Aku tahu, kakak kau pulang awal sebab dia mahu pengaruh otak Ilham ini. Dia nak bawa balik Ilham tinggal bersamanya. Bukan aku tak tahu semua rancangan dia mahu pisahkan kita dengan Ilham.”

“Abi, sampai hati abi tuduh kakak. Apa salahnya kalau kakak mahu bawa Ilham tinggal bersamanya. Ilham ini anak kandung kakak.”

“Memang anak kandung, tetapi masa susah dulu siapa yang jaga anak dia ini? Aku … aku yang berhak untuk jaga Ilham selamanya.”

Astagfirullah. Abi sepertinya tidak ikhlas membantu kakak dengan bicara seperti ini. Abi .…”

Aku kehilangan kata-kata. Abi terus pergi dengan wajah merah padamnya. Begitu lunak abi mempertahankan fikiran yang bertakung dalam mindanya selama ini tentang kepulangan kakak. Tidak terdetik walau sekali pun di hati, bahawa kakak akan mengambil Ilham daripada pangkuan umi dan abi. Kakak seorang anak yang taat dan berpegang pada janji. Sudah kakak janjikan dahulu, bahawa Ilham adalah hak umi dan abi untuk menjaganya.

“Abi, kakak bukan seorang yang mudah lupa ketika susah dan senangnya. Mengertilah abi.”

Sepuluh Ramadan berlalu dengan barakahnya ketika aku menghitung hari ke-11 bahawa kakak akan pulang ke teratak kami. Malam sebelum kakak bertolak, ada panggilan telefon yang mendesak hati untuk aku sabarkan.

“Kakak bimbang andai kata-kata abi itu tidak merestui kepulangan kakak. Tetapi, kakak mahu pulang ke kampung lebih awal sebab kakak mahu tunaikan solat Tarawih bersama-sama adik. Kakak rindu zaman kita masa-masa dahulu. Setiap kali Ramadan, pasti kita akan ke surau dan solat terawih bersama-sama. Kemudian, kita pulang ke rumah dengan sekali sekala tubuh kita dibauri bauan asap bunga api yang kita main bersama rakan-rakan. Adik ingat lagi?”
“Sudah tentu adik ingat. Tak akan adik lupa, kak.”

“Syukur dik, majikan kakak tiba-tiba baik hati luluskan cuti kakak seawal ini. Boleh juga nanti kakak bawa Ilham solat Tarawih bersama-sama. Sudah besar dia sekarang kan.”

“Iya kak. Pasti kita bawa dia rasa suasana seperti kita masa muda dulu kan. Kakak jangan bimbang, teruskan perjalanan untuk pulang ya. Hati-hati memandu.”
Panggilan akhir daripada kakak. Ketika itu langsung tiada riak untuk hati mengetahui bahawa kakak akan pergi selamanya selepas itu.

Ramadan ke-11, jenazah kakak dan Intan dibawa pulang dalam sayu. Aku kehilangan kata-kata. Ummi menangis hiba. Ilham masih biasa dan didakap erat saudara mara yang hadir. Ilham hanya mengerti ibu dan adiknya tidur lena di dalam tanah. Adakalanya dia akan menanti di birai jendela akan kepulangan ibu dan Intan.
Kerana takdir itu, kakak pergi dan tidak akan kembali. Takdir yang sudah tertulis untuk kakak, Intan dan seorang insan yang amat aku sayang. Abi jua pergi bersama-sama.

“Motosikal yang ditunggang Pak Sarhan dikatakan cuba mengelak pelepah kelapa di atas jalan, lalu terbabas dan menghentam kereta Myvi kepunyaan kakak kamu. Lori balak di belakang kereta kakak kamu tidak sempat menekan brek, lalu terbabas dan menghempap keretanya.” Hanya tinggal beberapa simpang untuk kakak bertemu kami. Namun ajalnya sudah disuratkan takdir. Salman yang menyampaikan berita duka ini berlalu dengan hati yang pedih. Kerana takdir itu, dia kehilangan kakak yang dulunya pernah mengisi ruang hatinya. Bukan sementara kerana kakak sudah berumahtangga, tetapi untuk selamanya bersama Maha Pencipta.

Kerana takdir itu, tangis ini akan terus mengisi ruang hati. Sayangnya aku kepada kakak tiada tara dan gantinya.

“Adik, kerana takdir itu relakan kakak pergi dengan aman dan tenang. Relakan ia bersemadi bersama merdu alunan doa dan kalam suci Allah yang pernah kakak ajarkan kepada adik dahulu. Relakan segalanya dalam bahagia. Adik, kakak sentiasa ada bersamamu. Di sini.” Bicara Abang Ilyas mematikan lamunan dan air mata. Wajah Ilham disuakan dalam ribaanku.

“Kerana takdir itu, masih ada kakak di sini. Ilham sayangku.”