RISIKO LAHIR ANAK RAMAI

RISIKO LAHIR ANAK RAMAI

RISIKO LAHIR ANAK RAMAI

KUALA LUMPUR: “Mampu melahirkan anak ramai belum tentu membuktikan seseorang itu hebat dalam hubungan intim suami isteri,” kata pakar sakit puan, Dr Suresh Kumarasamy.

Namun, katanya, ia cukup untuk membuktikan kesuburan seseorang wanita itu.


“Jika seseorang wanita itu memang sentiasa subur, hubungan intim yang paling kurang sudah memadai untuk membuatkannya mengandung,” katanya.


Beliau mengulas laporan muka depan Metro Ahad mengenai Maizawati Zainal, 35, bekas isteri kepada artis terkenal, Akhil Hayy, yang mampu memiliki anak ramai dengan tiga suami berbeza dan pada masa sama masih kekal gebu.

Bagaimanapun, menurutnya, kumpulan wanita yang ‘subur’ ini tidak terlepas daripada risiko mengalami masalah pendarahan berlebihan atau dikenali sebagai ‘Post partum Haemorrhage’.


Katanya, lebih ramai anak yang pernah dilahirkannya, lebih tinggi risiko mereka untuk mengalami keadaan itu.

 “Jika seseorang itu beberapa kali berkahwin, hasrat memiliki anak dengan setiap pasangannya tidak menjadi masalah kerana risiko hanya berlaku kepada wanita yang pernah melahirkan lebih daripada lima anak.


“Pendarahan berlebihan boleh berlaku sebaik anak serta uri dikeluarkan dari rahim ketika proses kelahiran,” katanya.


Suresh berkata, wanita yang mengalami risiko berkenaan biasanya perlu mengambil ubat tertentu bagi mengawal kadar pendarahan.


“Bagaimanapun, ada kes di mana kaedah ubat-ubatan tidak dapat membantu, menyebabkan pembedahan untuk membuang bahagian rahim itu terpaksa dilakukan.


“Jadi, bagi yang pernah melahirkan anak ramai, mereka perlu tahu untuk memiliki anak lagi bukan masalah, cuma paling penting ialah menjarakkan waktu untuk memiliki anak paling kurang dalam tempoh dua tahun,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Eksekutif House Of Healin, Prof Datuk Dr Hassan Yaacob berkata, faktor kulit cantik, gebu mahupun sihat biasanya diwarisi daripada genetik.


Menurutnya, ada tiga jenis kulit yang biasa dilihat iaitu kering, sederhana dan berminyak, malah 70 peratus genetik kulit diwarisi daripada ayah manakala 30 peratus daripada ibu.


“Kurang air dalam badan punca utama kulit menjadi kering dan mudah sensitif. Sebab itu kita digalakkan mengambil lapan gelas air setiap hari.


“Berbeza dengan kulit berminyak yang menjadi punca utama pertumbuhan jerawat selain menyebabkan liang roma menjadi besar.


“Kulit sederhana pula dikategorikan sebagai kulit sihat. Sihat yang dimaksudkan ialah tiada cela, malah tiada jerawat serta liang roma tidak kelihatan,” katanya.


Beliau berkata, untuk mendapatkan kulit sihat, seseorang itu hendaklah mengikut amalan harian yang ditetapkan seperti mencuci muka tiga kali sehari, tidak mengambil makanan mengandungi kandungan minyak berlebihan dan melakukan aktiviti mengeluarkan peluh.


“Kulit orang Asia lebih diminati orang Eropah disebabkan lebih anjal, tidak mudah berkedut dan tidak berpigmentasi. Disebabkan itu juga ramai pelancong yang melawat negara ini lebih gemar menghabiskan masa mereka di tepi pantai menggelapkan kulit.


“Bagaimanapun, cahaya matahari adalah penyebab utama kerosakan kulit muka yang boleh mengakibatkan pigmentasi dan barah kulit. Ada dua jenis sinar matahari iaitu UVA dan UVB.


“Cara terbaik adalah melindungi diri daripada matahari sewaktu keluar apabila panas terik,” katanya.

*RUJUKAN

MYMETRO