KEDUDUKAN MALAYSIA?

KEDUDUKAN MALAYSIA?

KEDUDUKAN MALAYSIA BERDASAR DATA LENGKAP
Oleh Mior Kamarul Shahid

Pencapaian mampu lebih baik jika tiada usaha burukkan negara

DALAM on-line Berita Harian, seorang pembaca mengulas mengenai kedudukan Malaysia pada tangga ke-43 berasaskan kajian Indeks Kemakmuran Negara-Negara di dunia 2010 oleh Institut Legatum yang berpusat di United Kingdom. Menurutnya, daripada 110 negara yang dikaji, kedudukan negara tidak begitu memberangsangkan.

 

Sebenarnya, 110 buah negara yang dikaji oleh Institut Legatum itu adalah negara yang mempunyai data lengkap untuk tujuan kajian. Banyak lagi negara di dunia, khasnya di negara dunia ketiga dan keempat, tidak mempunyai data lengkap atau langsung tidak mempunyai data untuk tujuan kajian. Sudah tentu negara ini berada pada keadaan yang amat buruk dan tidak terurus. Jika mengambil kira semua negara di dunia, kedudukan Malaysia adalah baik. Kajian ke atas Malaysia pula dibuat sebelum program transformasi dalam pelbagai bidang yang diusahakan kerajaan sekarang.

 Institut Legatum adalah badan bebas yang memberi fokus kepada kajian bebas dan sokongan dasar bagi mempromosikan kebebasan individu, politik dan ekonomi di negara seluruh dunia.

Kajian Indeks Kemakmuran dilakukan dengan mengkaji kedudukan sesebuah negara dari segi kedudukan Ekonomi yang mana Malaysia berada pada tangga ke-21, Keusahawanan dan Peluang (34), Tadbir Urus (34), Pelajaran (45), Kesihatan (44) dan Keselamatan (52). Kedudukan Indeks Malaysia ini dijangka lebih baik pada kajian tahun depan dengan pelbagai inisiatif dan perubahan yang dilakukan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Dari segi Kebebasan Peribadi dan Modal Sosial yang Malaysia berada, masing-masing pada tangga ke-90, pada kedudukan yang rendah, menjadikan kedudukan purata negara berada pada kedudukan 43. Kategori ini dimasukkan dalam metodologi kajian mungkin kerana ia dianggap mempunyai korelasi kukuh mempengaruhi kemakmuran sesebuah negara.

Malaysia sebenarnya boleh berada pada kedudukan lebih baik jika segelintir rakyat yang tidak berpuas hati dengan kerajaan, tidak mencemarkan nama negara di mata dunia. Golongan ini sering memburuk-burukkan kerajaan kerana kepentingan politik individu tertentu, Mereka mencemuh institusi tertentu seperti badan kehakiman, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sebagainya hinggakan mencemari institusi raja. Sebenarnya mereka mempertikaikan sistem yang diterima oleh majoriti rakyat. Sudah tentu penilaian orang Barat berbeza dengan norma masyarakat Malaysia. Keju dan belancan tidak akan sama. Malangnya, dakwaan negatif terhadap kerajaan dipercayai dan diterima oleh institusi kajian antarabangsa sebagai salah satu cara mereka mengumpul data selari dengan piawaian Barat. Pada kita, adalah lebih baik cara pengumpulan data yang membabitkan persepsi ini diuji terlebih dulu. Setidak-tidaknya institusi kajian berkenaan perlu mempunyai maklumat atau latar belakang yang jelas mengenai sebab-musabab sesuatu peristiwa itu berlaku. Menjadikan maklumat spekulasi sebagai data kajian akan menyebabkan kajian berat sebelah dan tidak tepat.
Kajian Kemakmuran juga pastinya berasaskan kepada angka dan bukan angka. Data berangka lebih mudah diukur. Ia dilakukan dengan membuat perbandingan angka di kalangan negara yang dikaji. Sebaliknya, jika kajian hanya berasaskan kepada peristiwa seperti demonstrasi akibat perasaan tidak berpuas hati rakyat, ia memberi gambar yang subjektif. Bagi sesetengah negara atau sistem tertentu, tindakan membenarkan demonstrasi jalanan adalah lambang kebebasan tetapi di sesetengah negara ia adalah masalah keselamatan. Perkara ini boleh diperdebatkan. Tetapi disebabkan kajian seperti ini dilakukan berasaskan kepada metodologi akademik, keputusannya masih boleh diterima walaupun hasil penemuannya boleh dipertikaikan.

Walaupun yakin kedudukan Malaysia sepatutnya berada pada kedudukan lebih baik, banyak faktor dalaman yang menggagalkan keadaan itu daripada berlaku, khasnya perkara yang dipengaruhi persepsi. Sebagai contoh, Malaysia adalah sebuah negara yang terlalu banyak politiking. Dalam tempoh seminggu ini saja ada dua pilihan raya kecil – kawasan Parlimen Batu Sapi, Sandakan, Sabah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Gua Musang, Kelantan, yang diadakan menyebabkan kegiatan politik yang meningkat. Ini tidak termasuk isu politik yang berpanjangan dimainkan pembangkang. Dalam suasana seperti hari ini, institut kajian tidak melihat dua pilihan raya kecil itu sebagai kebebasan rakyat membuat pilihan dalam sistem demokrasi tetapi mereka lebih menumpukan kepada kegiatan politik. Contohnya, jika mereka pergi mendengar kempen ceramah parti pembangkang, pastinya mereka akan mempunyai pandangan yang negatif terhadap kerajaan sekali gus mendapat gambaran yang buruk mengenai kerajaan dan parti yang memerintah. Jika kajian dibuat dalam tempoh seperti ini, ia tidak akan memberi hasil penemuan yang adil kepada Malaysia.

Malaysia tidak mempunyai masalah berhubung kajian seperti ini asalkan matlamatnya jelas dan objektif.

Malaysia sedar prestasi ekonomi adalah bidang yang sangat penting khasnya untuk mengukur kemakmuran sesebuah negara terutama mengenai dasar makroekonomi, kepuasan ekonomi dan jangkaan masa depan, asas pertumbuhan serta kecekapan sektor ekonomi.