MENYUSUR ARUS KEHIDUPAN

24/04/2010 10:44

MENYUSUR ARUS KEHIDUPAN
Oleh Ismas Saring

LAWATAN ke puncak kagurapi Asokanko petang itu amat meletihkan walaupun di kawasan pergunungan yang dingin. Di sebelah paginya jadual dipenuhi dengan melawat beberapa kawasan menarik di Ohori Park, pusat pertanian dan kraftangan serta beberapa kawasan bersejarah bagi pulau Kyushu dan setelah itu terpaksa mendekam di dalam bas selama kira-kira dua setengah jam yang akhirnya sampai di sebuah pekan kecil di kaki Gunung Asokanko.

Sebelum itu dia sudah pernah melakukan tugasan sama bagi mempromosikan destinasi pelancongan yang perlu didedah bagi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke Negara terbabit seperti di Jerman, Perancis dan Belanda. Namun ke Jepun itulah kali kedua selepas Tokyo dan Nagoya.

 

Pastinya dia bersyukur kepada Allah SWT yang memberinya peluang menjalani tugas itu. Kiranya tidak disebabkan kerjayanya itu pastinya tak ke mana dia yang hanya lulus sekolah menengah Inggeris di Klang sekitar tahun 1954.

 

Dia bersama rakan dari beberapa Negara lain dalam siri lawatan itu akhirnya sampai di hotel Aso-Kanko sebuah destinasi pelancongan di kawasan tinggi di daerah Kumamoto yang tidak jauh dari kawasan gunung berapi Asokanko. Menurut pengurus tetamu hotel berkenaan, nama hotel itu diambil sempena dengan nama Gunung Asokanko yang bukan sahaja mempunyai sejarah volcanonya tetapi kawasan pergunungan yang subur dan sejuk.

Selesai menerima taklimat ringkas mengenai jadual dan acara di sebelah malam itu oleh pegawai promosi pelancongan Narima Sutako mereka kembali ke bilik masing-masing rehat setelah menghabiskan masa mendaki lereng gunung untuk menyaksikan sendiri kawah gunung berapi yang aktif dan terkadang masih memuntahkan lahar dan melihat dengan mata kepala sendiri kesuburan tanaman sayur, buah dan bungaan di kampung sekitar kaki gunung itu.

Kudus masuk ke bilik nombor 838. Dia mendapati di atas meja kecil ada fail, seberkas bunga ros merah, sepiring besar pelbagai jenis buah-buahan dan sebuah nota kecil bertulis, ‘Selamat datang ke Hotel Aso-Kanko, semoga anda selesa dan gembira sepanjang bersama kami – Pengarah Urusan Aso-Kanko Hotel’.

Sebagai lazimnya, dia membuka dan membaca fail yang mengandungi ‘itinareryl’ mengenai tugasan yang bakal dilakukan sepanjang masa kira-kira seminggu di Kyushu pulau ketiga besarnya di Negara matahari terbit itu.
Lepas mandi Kudus terus memakai kimono pakaian rasmi di semua hotel di Jepun dan penghuni diwajibkan memakainya khasnya di kalangan pelancong dan pada waktu makan malam. Selepas itu baru boleh bertukar pakaian bagi tujuan lain seterusnya sama ada di dalam atau di luar hotel.

Sambil menikmati buah apple yang segar dia menatap panduan bahasa Jepun dalam kamus kecil. Bahasa itu adalah perkataan harian dan pertuturan yang sering diguna oleh pelancong yang tidak mahir atau tau berbahasa Jepun.

Dia cuba menghafal dan mengingati perkataan penting dan sering digunakan dalam berinteraksi dengan sesiapa sahaja seperti ‘ohayo gozaimas, komban-wa, konnichi-wa, irrashai (massei), sobetsu, nomimasu, kuimas, yushoku dan beberapa lagi perkataan penting yang perlu diketahuinya.

Ketika merehatkan badan ingatannya kembali ke tanah air yang telah tiga hari ditinggalkan dan fikirannya melayang terutama kepada rakan-rakannya yang sering memperlekeh tugasnya yang dianggap membuang masa dan tidak boleh jadi kaya.

Dia merasa terharu apabila teringat kepada anak bongsunya menyatakan, “kita saja asyik hantar ayah naik kapal terbang ke luar negara, tapi adik tak pernah pun naik kapal terbang dan keluar negara?”

“Sabarlah … adik belajar pandai-pandai nanti boleh jadi macam ayah keluar negara dan selalu naik kapal terbang,” sambut isterinya ketika mereka menghantarnya ke lapangan terbang antarabangsa KLIA di Subang, “hari ini adik hantar ayah, esok-esok ayah pula hantar adik,” sambung isterinya memujuk anaknya.

“Kau jangan berfikiran pesimis,” kata Dr Farush Din seorang aktivis budaya yang juga pensyarah di sebuah universiti tempatan tiba-tiba menerkam benaknya, “tak semua orang berfikiran dan menilai hidup seseorang dari material dan akademik.”

“Entahlah Dr,” jawabnya tenang, “tapi dari apa yang saya alami begitulah. Jika masyarakat purba, menyukat takar emas tempawan, hari ini kedudukan, status dan material seseorang tetap jadi ukuran,” dia mempertahankan pendiriannya menerusi pengalaman hidupnya sambil memberi beberapa contoh. Positif.

“Walaupun kau tidak berkelulusan bergelar Dr atau memiliki PhD, tetapi mereka menerima kau dalam kumpulan pemikir yang bukan senang dapat disertai oleh orang biasa,” Dr Farush cuba memujuk perasaannya.

“Tak saya nafikan Dr,” sambutnya jujur, “tetapi kehadiran dalam sesuatu majlis di kalangan mereka terlalu kerdil saya rasakan, tak lebih seperti hidung tak mancung, pipi saja yang didorong,” Kudus menyambung hormat.

“Jangan begitu,” Dr Farush memugar minda, “aku tak dengar pun mereka memperkecil penyertaanmu, malah mereka terasa bangga kau yang banyak pengalaman ada bersama. Walaupun kami bergelar Dr, tetapi tak ke mana, tapi kau sudah merantau banyak negara. Pengalaman dan pengetahuan yang tiada pada kami. Itu bukan saja satu kelebihan, tetapi keistimewaan,” sambungnya mengakui pengalaman yang ada pada Kudus selaku penulis kembara gelandangan di manca negara.

“Saya bukan tak percaya, tetapi kurang yakin,” jawabnya tak mahu kalah dengan pendiriannya sambil terus bercerita beberapa ‘function’ yang dihadirinya ramai rakan bertindak bukan saja meninggalkan tetapi memperlekehkannya.

Malah ada temannya yang tak menghiraukannya apabila bertemu sesama rakan setaraf. Dia jadi termanggu dan kerdil dibiarkan, macam kambing bobok kelaparan. Dia menilai erti kehidupan di kalangan manusia yang kononnya golongan intelektual dan berbudi bahasa. Baginya, zaman nuklear ini, budi bahasa hanya di bibir. Tak lebih bagaikan ‘dessert’ pemanis mulut sahaja.

Dia mengingati peristiwa seorang teman yang mohon bantuannya untuk mendapatkan sesuatu dengan seorang berpengaruh, malangnya setelah rakan itu berjaya, dia ditinggalkan begitu sahaja bagai kerbau yang meninggalkan najisnya di jalanan.

Acap kali dia terkena dan dia juga berhati-hati dengan Dr Farush yang sedang rapat dengannya. Sebab istilah anak-anak muda hari ini, ‘gunakan kawan, sebelum kawan gunakan kita’ dan yang ramainya hari ini ‘kawan makan kawan’ dan kalau nak tipu lebih senang tipu kawan daripada nak tipu musuh.

Dalam benaknya bertandang, ramai kawan yang dikenali kebanyakannya bersikap telunjuk lurus kelingking berkait. Terbukti banyak perkara berlaku di kalangan rakan-rakannya termasuk Dr Farush yang sedang menyelami kehidupannya. Dr Farush juga menurut rakannya yang lain, dia hanya berkawan jika rakan itu memberi manfaat padanya. Jika tidak, ditinggalkannya.

Ketika asyik melayan fikirannya kembali ke tanah air dan rakan-rakannya, loceng pintu berbunyi dan secepat kilat dia bangun dari pembaringan. Melihat ke jam kecil di atas TV baru menunjuk ke angka 7.30 petang. Maknanya masa berkumpul di lobi dan ‘dinner’ ’pada jam 8.30 malam masih lama.

Bagaimanapun dia membuka pintu dan mendapati Narima di depannya.
“Maafkan saya, kalau mengganggu. Pastinya kau masih penat. Maafkan saya,” Norima menyapa, “boleh saya masuk?” Minta izin penuh hormat.

“Tiada masalah, silakan,” jawabnya spontan dan mereka menuju ke meja dan duduk. Norima memberitahu beberapa acara yang berubah daripada jadual asal.

“Jadi … kami akan terus berada di Komamoto ini selama dua hari dan dua hari di Beppu,” dia ingin kepastian dengan pindaan terbaru. Narima keluar. Meninggalkannya sendirian.

Dia menatap pindaan jadual yang baru diterimanya dan ingatannya kembali kepada syarahan Ustaz Tarmudi Saripan yang menyatakan: ‘Sebaik-baik manusia di sisi Allah SWT ialah golongan yang bertakwa dan yang lebih memberi manfaat kepada orang lain.’ Adakah Dr Farush termasuk dalam golongan itu atau sebaliknya? Bagi dirinya tak lebih daripada seekor seluang yang menongkah arus hidupnya dengan sirip ‘I who have nothing’.

Telefon di atas meja berdering. Ingatan kepada Ustaz Tarmudi hilang serta merta bagaikan air dicurah ke pasir. Gagang telefon disambar secepat kilat dilekapkan ke cuping telinganya:

“Hello … tepat jam 8.30 malam nanti jumpa di lobi,” suara Amanda Mao, penulis kembara dari Taiwan yang pernah bersama di Stuggart dan Frankfurt, Jerman mengisi gedung telinganya, “jangan lupa pakai kimono,” sambungnya mengusik.
“Shibaraku desu-ne,” Jawabnya sambil meletakkan semula gagang telefon ke sarangnya.

“???”.